Tuesday, July 14, 2009

PRK Manek Urai : Politik Rasuah & Politik Sekular vs Politik Islam




Keputusan PRK Manek Urai telah diumumkan. Rakyat di Manek Urai telah memilih Abe Uji dari PAS untuk meneruskan kesinambungan kerja Allahyarham YB Abang Wei. Pengundi menolak janji pilihanraya UMNO/BN walaupun yang mengucapkan janji tersebut adalah seorang Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran, Menteri Pertahanan dan berpuluh - puluh lagi menteri dan timbalan menteri kerajaan Pusat. Apakah pengundi Manek Urai menolak kemajuan dan pembangunan? Adakah projek prasarana dan infraskruktur tidak diperlukan sehingga janji jambatan bernilai RM7 juta tidak menarik hati penduduk Manek Urai? Disinilah titik perbezaan minda serta pemikiran dan tahap keimanan memainkan peranan dalam menentukan corak kehidupan seharian yang diidamkan oleh setiap orang termasuk penduduk di Manek Urai.

Penduduk di Kelantan telah diakui sebagai institusi politik yang kreatif. Ada cendiakawan melebelkannya sebagai Universiti Politik Kelantan. Orang Kelantan terkenal dengan kemahiran berpolitik yang tinggi. Tidak hairanlah walaupun Kelantan telah berada di bawah pemerintahan PAS selama 19 tahun, para pemimpin UMNO yaang kalah dalam pilihanraya di Kelantan masih lagi diberi jawatan sebagai Menteri, Timbalan Menteri maupun Setiausaha Parlimen di peringkat Pusat.

Apakah kesan dari keputusan PRK Manek Urai yang lepas?. Pelbagai jawapan dan alasan boleh diberikan oleh para penganalisa politik di tanah air bergantung kepada perspektif dan kefahaman masing - masing. Rakyat Kelantan ternyata berada dalam situasi yang beruntung. Curahan projek pembangunan dari Kerajaan Pusat tetap disalurkan mengikut selera pemimpin UMNO Kelantan walaupun terdapat penafian dan diskriminasi. Kerajaan Negeri pimpinan PAS seperti lazimnya terus mentadbir Wisma Negeri dengan kewangan yang terhad tetapi dapat bertahan selama 19 tahun. Rakyat Kelantan mempunyai ayah sendiri iaitu Kerajaan Negeri disamping ayah angkat Kerajaan Pusat. Kebiasaannya ayah angkat ini akan senantiasa bertanya khabar dan memberi pelbagai hadiah kepada anak angkatnya. Ini akan dilakukan secara berterusan untuk mengekalkan hubungan mesranya sesuai dengan statusnya sebagai ayah angkat. Dalam masa yang sama Kerajaan Negeri sebagai bapa yang haq akan menjalankan tanggungjawapnya sepertimana sepatutnya. Inilah kecerdikan rakyat Kelantan dimana mempunyai dua orang bapa yang menjaganya hasil dari ketinggian ilmu berpolitik.

UMNO/BN ditolak di Kelantan kerana dasarnya yang sekular. UMNO cuba mengharamkan penggunaan perkataan Islam menunjukkan bukti UMNO menolak Islam secara total. Kalau perkataan Islam tidak boleh digunakan apakah UMNO boleh diharapkan memperjuangakan Islam. Konsep penerapan nilai Islam oleh Kerajaan Tun Mahadhir tidak diendahkan oleh rakyat Kelantan. Slogan Islam Hadhari oleh PM Pak Lah tidak menarik hati rakyat Kelantan. Kedatangan PM Najib Razak dengan konsep 1Malaysia nescaya akan dibuang ke dalam telaga buruk oleh rakyat Kelantan. Ini terbukti di PRK Manek Urai. UMNO yang penuh dengan isu rasuah dan politik wang semasa pemilihan pemimpin di peringkat Bahagian dan Pusat ditolak rakyat walaupun cuba menampilkan imej bersih semasa di kampung. Penduduk Manek Urai yang teras ekonominya bergantung kepada hasil getah dan kelapa sawit amat memerlukan orang muda yang berkelulusan tinggi tetapi orang muda yang mempunyai ijazah yang berjuang dalam UMNO yang sekular tidak mempunyai nilai kepada penduduk Manek Urai. Mereka lebih selesa memilih seorang pemborong ikan di Pasar Kuala Krai yang berjuang dalam sebuah parti yang berideologikan Islam untuk memperjuangkan hak mereka.

Inilah pemikiran politik yang matang dan bijak. Menolak UMNO di Manek Urai bererti menolak gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh PM Najib Razak. Ianya bererti menolak amalan rasuah dan politik wang yang membarah dan bermaharajalela semasa pertandingan UMNO di peringkat Cawangan, Bahagian apatah lagi Pusat. Penduduk di Manek Urai menerima pemberian hadiah dan sumbangan kerana ianya adalah wang kerajaan hasil cukai rakyat Malaysia dan bukannya duit dari pokek pemimpin UMNO. Semoga momentum penolakan rakyat terhadap UMNO/BN ini akan mencapai kemuncaknya pada PRU ke 13 nanti dan wadah baru pemerintahan Pakatan Rakyat akan menerajui pemerintahan.

0 Comments:

blogger templates 3 columns | Make Money Online