Friday, August 7, 2009

50 tahun UMNO/BN memperbodohkan rakyat - YB Ustaz Taib Azamuddin Md Taib



Kg. Tanah Lot, Kemasik : Orang Melayu diminta berfikir apakah Agama Islam telah dimartabatkan oleh UMNO/BN selama 50 tahun memegang tampuk pemerintahan. Kekebalan Sultan dan Raja Melayu telah direntap dan dihapuskan. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan bagi mencapai sasaran 30% pegangan ekonomi menjadi milik orang Melayu apa sudah jadi sekarang. Ternyata DEB ini menjadi sumber mata pencarian dan lubuk mengumpul kekayaan dan kemewahan segelintir pemimpin UMNO sahaja. Siapa yang menghapuskan Majlis Amanah Rakyat (MARA)?. Siapa yang menghapuskan biasiswa pelajar Melayu menggantikan dengan PTPTN dengan kadar bunga 4%. Adakah komponen BN dari MCA, MIC dan Gerakan yang meminta hak istimewa orang Melayu ini dihapuskan? Jawapannya tidak. UMNO lah yang mendabik dada mengaku pejuang hak orang Melayu sendiri yang menghapuskan semua ini.

Demikian antara perkara yang diutarakan oleh YB Ustaz Taib Azamuddin Md Taib, AJK PAS Pusat dalam ceramahnya di Kampung Tanah Lot, Kemasik semalam. Al Fadhil Ustaz juga mempersoalkan kredibiliti pasukan keselamatan yang menjalankan tugas berdasarkan arahan bukannya mengikut undang - undang. Beliau mengingatkan segelintir pegawai kanan dalam pasukan keselamatan jangan menjadikan diri mereka boneka pemimpin UMNO/BN yang berada dalam kapal yang sedang karam. Kenapa menzalimi rakyat yang ingin berhimpun secara aman sepertimana dibenarkan dalam Perkara 10 Perlembagaan Malaysia. Kenapa melepaskan gas pemedih mata, menyembur air berasid dan memukul serta menangkap rakyat dengan membabi buta dan brutal?

Al Fadhil Ustaz juga merupakan Ahli Parlimen Baling dan mantan Iman Besar Masjid Negara juga menerangkan tentang 'Tahaluf Siyasi' iaitu perjanjian persefahaman untuk bekerjasama dengan orang Bukan Islam. Rasulullah saw pernah melakukan antara suku Aus dan Khazraj dengan membawa kepada penyatuan umat di bawah panji - panji Islam sehingga tertegaknya Negara Islam.Ianya juga berlaku dengan Bukan Islam seperti persefahaman dengan Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib sebelum hijrah dan persefahaman dengan kabilah Khazaah selepas Perjanjian Hidaibiyah. Kita dibolehkan mengajak bukan Islam dalam melakukan perkara baik dan diharamkan melakukan persefahaman dengan Bukan Islam dalam melakukan perkara mungkar dan maksiat serta atas dasar sekular.

Beliau juga menyeru seluruh rakyat melakukan perubahan menyeluruh dalam PRU Ke - 13 nanti sepertimana dalam PRU Ke - 12 lepas yang hampir menyeluruh. UMNO/BN sekarang dalam keadaan 'sakaratul maut' (mabuk menghadapi kematian) dan rakyat akan mengkafankannya dalam PRU Ke - 13 nanti.

0 Comments:

blogger templates 3 columns | Make Money Online