KUALA TERENGGANU : Sesi perbahasan Bajet 2010 Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi penggal ke-12, semalam, hangat apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO/Barisan Nasional sendiri mempertikaikan beberapa projek yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sepanjang tahun ini.
Alias Abdullah (BN-Alor Limbat) lantang menyuarakan kelemahan terhadap projek yang telah dilakukan pihak kerajaan.
Sesi perbahasan berkenaan turut diselang-seli dengan ucapan tahniah dan terima kasih secara sinis kepada Kerajaan Negeri kerana mengumumkan bajet bertemakan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ dengan jumlah agak tinggi.
Selain itu, Alias turut mempertikaikan projek perbekalan atap biru menelan kos RM1.3 juta yang difahamkan bekalan sebenarnya hanya membabitkan dua buah treler sedangkan sebut harga bagi projek berkenaan dikecualikan kerana pemberian projek dilakukan secara runding terus.
Sesi perbahasan menjadi lebih hangat apabila Alias mengucapkan ‘tahniah’ kepada pihak kerajaan kerana memperuntukkan sebanyak RM7.8 juta bagi membekalkan kurma dan air zamzam kepada rakyat negeri ini pada bulan puasa lalu.
“Saya ucap tahniah kerana sepanjang menjadi rakyat Terengganu, inilah kali pertama saya dapat lihat rakyat negeri ini merasa kurma semahal RM20 sekotak,” katanya.
Sesi perbahasan menjadi gamat apabila sejurus kemudian Datuk Rosol Wahid (BN-Ajil) bangun dan meminta Alias mengira jumlah buah kurma yang terdapat pada setiap bungkusan kurma itu.
Dalam pada itu, Alias turut membangkitkan isu pembangunan pulau di kawasan Tasik Kenyir yang diberi peruntukan sejumlah RM50 juta, dengan pemberian projek juga diberikan secara runding terus, selain turut mendedahkan beberapa lagi projek pembinaan jalan.
Dalam pada itu, Alias turut menyatakan teruja dengan projek ubi gadong yang dilaksanakan Kerajaan Negeri, membabitkan pelaburan sehingga RM2.2 juta bagi memastikan projek tanaman ubi gadong ‘beracun’ itu boleh dikomersialkan.
Sebelum itu, sesi perbahasan pada sebelah pagi agak ‘panas’ apabila Mohd Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) meminta Kerajaan Negeri menyiasat kes kehilangan jentera jengkaut milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bernilai hampir RM1 juta dan kehilangan tiga kereta Proton Perdana V6 milik Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
(dipetik dari www.sinarharian.com)
Tuesday, December 22, 2009
ADUN UMNO/BN pertikai projek Kerajaan Negeri UMNO/BN
Posted by Pemuda PAS MTD Kemasik at 7:37 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Comments:
Post a Comment