Sunday, December 20, 2009

Kehilangan Enjin F5E dan Episod Malang 1Malaysia

Ustaz Azhar Idrus nak tembak siapa agaknya tu...jangan takut ini 'action' saja cover depan pun tak buka...(gambar hiasan)
Model pesawat pejuang F5E antara yang tercanggih waktu dulu.

Kehilangan enjin pesawat pejuang F5E berlaku 2007. Sekarang penghujung 2009 bermakna hampir tiga tahun penyiasatan dijalankan. Laporan terbaru beberapa orang pegawai tinggi telah ditahan untuk disiasat. Proses pendakwaan di mahkamah bergantung kepada hasil siasatan.

Zahid Hamidi tiap kali sidang akhbar tidak pernah lupa menyebut kehilangan berlaku pada 2007. Nawaitunya untuk memberitahu dia bukan Menteri Pertahanan waktu itu. Menteri Pertahanan waktu itu Najib Razak.

Selepas merdeka 52 tahun rasanya ini pertama kali berlaku kehilangan perkara yang tidak pernah berlaku dan tidak logik kalau berlaku.

Ianya seperti kita kehilangan periuk belanga dan pinggan mangkuk di dalam rumah, sesuatu yang lucu rasanya. Mesti orang akan mempersoalkan tahap asas keselamatan rumah kita seperti rumah kita mempunyai pintu yang berkunci atau tidak atau sebahagian rumah tidak berdinding.

Kehilangan enjin F5E ini bukan seperti kehilangan motorsikal atau kereta. Enjin yang hilang adalah pesawat pejuang yang mempertahankan negara kita jika berlaku sebarang konflik atau peperangan. Ianya melibatkan anggaran RM50 juta wang rakyat yang hilang.

Jika rumah mampu milik berharga RM33,000 sebuah bermakna nilai sebuah enjin tidak termasuk badan pesawat itu bersamaan 1,515 buah rumah. Inilah kos yang hilang begitu sahaja tanpa dapat digantikannya.

Apakah para pembayar cukai akan membiarkan perkara sedemikian berlaku lagi pada masa hadapan.

Apakah jaminan kerajaan UMNO/BN mereka yang bersalah dibawa ke muka pengadilan. Kenyataan PM tidak akan menyembunyikan pesalah tidak perlu lagi dibuat apatah lagi ianya berlaku semasa Najib Razak menjadi menterinya.

Apa yang rakyat mahu tahu setakat mana kemajuan siasatan dan berapa lama lagi kes ini akan berlarutan.

Kehilangan enjin pesawat F5E ini adalah rentetan beberapa peristiwa malang yang berlaku yang mencemarkan imej dan kedaulatan negara kita 1Malaysia.

Apa agaknya rakyat Singapura perkatakan tentang kehilangan ini. Kita semua sedia maklum Singapura mempunyai angkatan udara antara yang tercanggih di rantau Asia dewasa ini.

Pakatan Rakyat (PR) yang yang dianggotai oleh PAS, PKR dan DAP yang selesai mengadakan konvesyen pertamanya semalam bersedia untuk menggantikan UMNO/BN di Putrajaya.

Inilah yang perlu difikirkan oleh para pembayar cukai dan rakyat sekelian. Masanya untuk memilih sebuah kerajaan yang telus dan berwibawa bagi menggantikan kerajaan tua dan uzur serta keletihan UMNO/BN perlu disegerakan selewatnya 2013 nanti.

"BERPADU, BERUBAH, BERKAT"

0 Comments:

blogger templates 3 columns | Make Money Online