Kali ini, saya ingin mengajak pembaca-pembaca yang budiman menyelami ghayah atau tujuan sebenar dalam kehidupan kita terutamanya sebagai muslim sepenuh masa. Sudah pasti kalau ditanya kepada kita, apakah tujuan manusia dihidupkan? Mesti sahaja telinga kita pernah mendengar jawapan bahawa manusia dijadikan oleh Allah Subhanahu Wa Taala hanyalah untuk beribadah kepada-Nya, dengan dinyatakan sekali dalil naqli dari firman Allah Jalla Wa ‘Ala :
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya : Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. (Surah Az-Dzaariyaat : 56)
Allah Subhanahu Wa Taala telah banyak menurunkan nikmat kepada hamba-Nya yang Dia kehendaki. Kalau dilihat kepada contoh di dunia ini, kita dikehendaki membayar bil air, bil telefon, bil eletrik dan lain-lain sebagai bayaran kemudahan yang telah kita gunakan. Begitu juga dengan hubungan kita sebagai makhluk dengan Tuhan makhluk iaitu Allah Rabbul ‘Azeem, Dia telah memberikan kita nikmat menghirup oksigen untuk melangsungkan kehidupan yang mana kalau kita lihat, memang tiada bil oksigen yang sampai ke peti surat kita, tetapi hakikatnya kita perlu menzahirkan rasa syukur kita terhadap-Nya dengan ibadah-ibadah yang berpandukan syariat Islam.
Lanjutan daripada itu, hubungan kita dengan Allah juga boleh dikaitkan dengan satu jual beli, di mana jual beli ini tidak terdapat pada mana-mana syarikat walaupun sehebat mana manusia itu bermuamalat dalam jual beli, namun tidak dapat menjanjikan pulangan yang hebat seperti mana dijanjikan Allah kepada hamba-Nya akhirat kelak. Allah berfirman dalam al-Quran :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ
Maksudnya : Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (Surah As-Soff : 10)
Nah, apakah kita pernah mendengar dalam akad perniagaan seharian kita di mana ada pihak yang dapat menjamin kita terselamat daripada azab yang pedih apabila membeli produknya, sudah pasti mereka yang agak tersasar sahaja akan melafazkan sedemikian.
Seorang pelukis pasti sangat berbangga dan berbesar hati apabila lukisannya dibeli oleh orang-orang ternama dengan harga yang mahal ataupun sederhana. Itu hanya hubungan antara manusia. Apalah yang kita boleh bayangkan apabila kita ditawarkan perniagaan dengan Tuhan yang mencipta kita sendiri, masya-Allah.
Pasti kita tertanya-tanya bagaimana pula bentuk jual beli yang dijanjikan itu, Allah Azza Wa Jal telah pun berfirman dalam Surah At-Taubah :
إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالْقُرْآَنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar. (Surah At-Taubah : 111)
Subhanallah, pulangan yang dijanjikan itu sangat lah berharga, menjadi impian bagi setiap muslim dan muslimah. Sering kali kita berdoa agar diberikan syurga di akhirat kelak. Rupa-rupanya Allah Azza Wa Jal telah pun menawarkannya kepada sesiapa yang mematuhi syarat tersebut. Oleh itu, apakah kita sanggup melepaskan peluang ini begitu sahaja, melepaskan tawaran yang tidak dapat dibuat oleh manusia. Yang tidak dapat dijamin oleh manusia.
Bagaimana pula sifat-sifat dan akhlak-akhlak yang dikendaki-Nya untuk mewajarkan kita memperoleh syurga Allah itu. Adakah sudah cukup bagi sesetengah golongan yang mengatakan bahawa mereka boleh membayar dengan harta dan wang mereka untuk memperoleh ganjaran tersebut, oh terlalu dangkal pemikiran begitu.
Di dalam Al-Quran, terdapat banyak ayat-ayat yang berbentuk perintah dan larangan. Selain itu, terdapat juga ayat yang menerangkan sifat-sifat dan akhlak-akhlak yang dianjurkan syariat dan yang sebaliknya, sama ada melalui pengajaran daripada umat-umat terdahulu mahupun sifat-sifat yang ditonjolkan oleh para Anbiya’ dan rasul.
Suka saya di sini untuk meneruskan ayat Surah At-Taubah di atas, yang mana menunjukkan sifat-sifat yang dikendaki Allah Subhanahu Wa Ta’ala, yang juga merupakan bayaran yang dituntut untuk kita melansungkan perniagaan yang tersangat mendatangkan profit kepada kita. Firman Allah :
التَّائِبُونَ الْعَابِدُونَ الْحَامِدُونَ السَّائِحُونَ الرَّاكِعُونَ السَّاجِدُونَ الْآَمِرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّاهُونَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَالْحَافِظُونَ لِحُدُودِ اللَّهِ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya : Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang melawat*, yang ruku', yang sujud, yang menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah berbuat munkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu. (Surah At-Taubah : 112)
* Maksudnya: melawat untuk mencari ilmu pengetahuan atau berjihad. Ada pula yang menafsirkan dengan orang yang berpuasa.
Begitulah wahai teman-teman, sifat-sifat yang perlu ada dalam diri setiap muslim sejati. Banyak lagi perwatakan-perwatakan yang digariskan oleh Islam yang perlu kita tanam dan bajakan ia dalam diri kita. Marilah kita mensyukuri nikmat yang Allah curahkan kepada kita, tidak kufur. Zahirkan rasa syukur kita terhadap-Nya dengan penuh ikhlas dan sejajar dengan katalog bagi seorang muslim iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasulullah sallahu alaihi Wasallam.
مالك بن أنس - رحمه الله - : بَلَغَهُ ، أَنَّ رسولَ الله - صلى الله عليه وسلم - قال : «تَركْتُ فيكُمْ أَمْرَيْنِ لنْ تَضِلُّوا ما تَمسَّكْتُمْ بهما : كتابَ الله ، وسنّة رسولِهِ». أَخرجه الموطأ.
Maksud matan hadith : Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesekali sesat sekiranya kamu berpegang teguh pada keduanya : Al-Quran dan Sunnah rasul-Nya.
Monday, May 24, 2010
Jual-Beli yang menguntungkan, confirm!
Posted by Pemuda PAS MTD Kemasik at 8:11 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Comments:
Post a Comment