Tuesday, July 19, 2011

PASTI DUN Kemasik adakan Sambutan Jubli Perak - Ustaz Alias Abdul Hamid


Kerteh, 19hb. Julai : PASTI DUN Kemasik akan merayakan ulangtahun penubuhan 25 tahun pada 28-30hb. Julai ini bertempat di PASTI Al Husna, Kg. Semayor, Kemasik, Kemaman.

Menurut Pengarah Sambutan, Ustaz Alias Abdul Hamid (gambar kanan), pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan akan diadakan sempena dengan perayaan Jubli Perak PASTI Al Husna.

Beliau menjemput seluruh masyarakat untuk hadir bersama meraikannya dan satu jamuan rakyat akan diadakan pada tengahari 30hb. Julai, Sabtu ini.

'Program bermula pada 28hb. Julai, Khamis dengan Ceramah Perdana 1 yang akan menampilkan Timbalan Presiden PAS, Haji Mohd Sabu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasharuddin Hassan Tantawi, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Yang DiPertua PAS Kemaman, Hj. Ismail Harun pada jam 9.00 malam', ulas Ustaz Alias.

Beliau seterusnya berkata, 'Pada 29hb. Julai, Jumaat akan diadakan aktiviti kemasyarakatan seperti ziarah, pertandingan mewarna dan sukaneka terbuka untuk anak - anak bawah 12 tahun manakala muslimat dan pemuda menganjurkan program yang terbuka kepada semua masyarakat dan pada malamnya diadakan Malam Kesenian Islam yang menampilkan 2 buah kumpulan nasyid dan penyanyi solo', tambahnya lagi.

Aktiviti pada 30hb. Julai, Sabtu akan dimulai dengan upacara Perasmian Sambutan Jubli Perak PASTI DUN Kemasik oleh YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu dan diikuti pertandingan mewarna dan sukaneka pelajar PASTI DUN Kemasik, motivasi muslimat yang akan disampaikan oleh Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman, aktiviti sukan pemuda dan jamuan rakyat pada tengaharinya.

Muslimat DUN Kemasik juga membuka kaunter Tautan Kasih iaitu agensi menjari jodoh kepada mereka yang berminat.

Beliau yang juga Pengarah PAS DUN Kemasik berkata, 'sebanyak 4 ekor lembu akan disembelih untuk jamuan rakyat, jadi saya menjemput seluruh masyarakat datang menjamu selera pada tengahari Sabtu tersebut', katanya.

Pada 30hb. Julai malam akan diadakan Ceramah Perdana 2 antara penceramahnya ialah Ustaz Saiful Bahri Mamat, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu dan YB Ng Swee Lim, ADUN Sekinchan.

Pihak penganjur berharap para pengunjung mengikuti segala arahan dari pasukan petugas Unit Amal bagi mengelakkan kesesakan lalulintas sepanjang program berlangsung dan seramai 50 orang anggota Unit Amal Kemaman akan bertugas sepanjang 3 hari tersebut.

0 Comments:

blogger templates 3 columns | Make Money Online