Sunday, July 26, 2009

Usrah Inter Pemuda DUN Anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman Kali 01






Lujnah Tarbiyyah Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman (DPPKK) telah menganjurkan Usrah Inter Pemuda DUN Kali 1 di Pejabat PAS Kawasan semalam. Sambutan dari peserta yang merupakan para pimpinan Pemuda di empat DUN iaitu Kemasik, Kijal, Chukai dan Air Putih amat menggalakkan dan menunjukkan satu unjuran positif terhadap aktiviti usrah.

Saudara Suffian Ismail, Ketua Lujnah Tarbiyyah DPPKK memaklumkan program usrah di peringkat ini merupakan kemuncak kepada semua aktiviti usrah yang diadakan di empat DUN masing - masing. Program ini akan diadakan secara bulanan dan lokasinya akan berubah mengikut giliran DUN. Natijahnya para pimpinan DPPKK dapat bertemu muka dan bertanya khabar secara langsung dengan para pimpinan dan ahli di peringkat Pemuda DUN dan Cawangan masing - masing.

Setiausaha Lujnah Tarbiyyah Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman (DPPKK), Ustaz Azam telah membentangkan secara ringkas laporan dan aktiviti serta perancangan lujnah untuk panduan semua ahli usrah.

Naqib usrah pada kali ini ialah Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, Setiausaha Lujnah Tarbiyyah PAS Kawasan Kemaman. Beliau membawa ahli usrah mengimbas kembali sejarah, rintangan serta tribulasi yang dihadapi oleh pejuang Islam terdahulu termasuk peristiwa pengistiharan kemasukkan Omar Al Khattab memeluk Islam semasa Nabi SAW dan pengikutnya sedang berusrah di rumah Al Alqam. Alangkah beruntungnya kepada pemuda PAS yang sedang berusrah dan didatangi seseorang sambil menyatakan kesediaannya menyertai Gerakan Islam seolah - olah menyamai peristiwa Omar Al Khattab tersebut.

Beliau juga mengupas tentang kematian Abdul Mutalib dan Siti Khadijah semasa Nabi saw gigih berdakwah merupakan suatu hikmah dari Allah swt untuk memperkuatkan perasaan kebergantungan diri hanya kepada Allah swt sahaja yang kekal. Peristiwa Nabi saw dihina dan dilontar batu di Taif dan tawaran malaikat Jibrail untuk menghempas penduduk Taif dengan gunung ganang telah ditolak oleh Nabi saw sebaliknya beliau mendoakan semoga akan lahir dari tulang - tulang sulbi penduduk Taif para pejuang yang akan menyambung perjuangan Islam. Disinilah kesabaran serta kebijaksanaan Nabi saw perlu diambil iktibar oleh Pemuda Islam dalam mengharungi ranjau perjuangan.

Al Fadhil Ustaz Naqib juga menegaskan kekuatan jemaah terletak pada keberkesanan usrah dan tarbiyyah itu sendiri. Kesan usrah itu secara langsung akan memantapkan keimanan jemaah seterusnya mengukuhkan tanzim (organisasi). Usrah juga boleh dikendali oleh semua orang walaupun tidak mempunyai kelulusan khusus dalam bidang agama Islam. Allahyarham Sheikh Fathi Yakan merupakan seorang graduan bidang kejuruteraan peringkat Ijazah dan MA telah membuktikan perkara ini dan telah mengeluarkan begitu banyak buku - buku bersifat tarbiyyah yang kadangkala tidak termampu oleh mereka yang berkelulusan bidang agama. Golongan profesional,teknokrat dan ahli perniagaan yang mempunyai ilmu ramai yang menerajui gerakan Islam dan mengetuai usrah dalaman dan luaran seperti para pemimpin HAMAS.

Slot usrah seterusnya adalah sessi soal jawab yang terbuka kepada semua perkara. Slot ini ternyata mendapat sambutan hangat dari peserta usrah dimana banyak soalan dan pandangan serta teguran telah diutarakan. Ianya merupakan komunikasi dua hala yang berjaya menarik minat para peserta usrah.

Usrah Inter Pemuda DUN Kali 2 dijangka jatuh pada bulan Ramadhan dan akan diadakan di Masjid Pasir Minal dimana akan ditambah dengan program qiamulail.

Sessi penutup dilakukan oleh Ustaz Megat Suhaimi Megat Idrus, Ketua DPPKK menyatakan kehadiran peserta amat positif dan boleh dipertingkatkan lagi bilangannya untuk sessi akan datang. Beliau juga mengingatkan peranan yang perlu dimainkan oleh pemuda - pemuda PAS di peringkat DUN dan Cawangan dalam mempersadakan perjuangan Islam ini. Tugas dan tanggungjawap memperkasakan pemuda adalah kerja yang memerlukan penglibatan semua pemuda samada di Cawangan, UPU mahupun DUN apatah lagi di peringkat Dewan Pemuda. Pemuda bukan memulakan mahupun menamatkan perjuangan ini tetapi pemuda hanya meneruskan jejak langkah mereka yang terdahulu dan merupakan mata rantai perjuangan Islam.

0 Comments:

blogger templates 3 columns | Make Money Online