Tuesday, September 15, 2009

Pemuda Bersama Mu MTD Kemasik Meraikan Anak Yatim













Bulan Ramadhan bakal meninggalkan kita. Kedatangan 1 Syawal menandakan kemenangan rohani dan jasmani menempuhi ibadat berpuasa selama sebulan di bulan Ramadhan.

Apa yang pasti kanak - kanak merupakan golongan yang paling teruja menyambut ketibaan hari raya. Semuanya serba baru. Baju baru, seluar baru, kurung baru, jubah mini baru, kasut baru dan stokin baru.

Namun begitu, terdapat segelintir kanak - kanak yang ketiadaan ibubapa tidak dapat bersama meraikannya sepertimana kanak - kanak biasa. Kehilangan ibubapa dalam usia yang masih kecil sedikit sebanyak pasti terasa dalam sanubari mereka.

Inilah anak - anak yatim. Mereka ini perlu diraikan dan disantuni oleh setiap kita.

Susulan dari itu, Pemuda Majlis Tindakan DUN Kemasik dengan kerjasama sebuah firma perunding kejuruteraan yang beroperasi di Bandar Baru Kerteh telah menganjurkan majlis penyerahan duit raya kepada anak yatim ini di Surau Taqwa, Kg. Gelugor, Kerteh pada petang 25 Ramadhan.

Seramai 59 orang anak yatim sekitar DUN Kemasik diberikan sumbangan duit raya. Wakil dari firma perunding kejuruteraan serta kakitangan dan Ketua Pemuda MTD Kemasik telah menyampaikan sumbangan tersebut.

Walaupun jumlah yang diberi tidak besar tetapi keriangan jelas terbayang di wajah anak - anak yatim. Keletihan berpuasa jelas terpancar di raut muka tetapi tetap bersemangat menanti detik yang penuh makna.

Timbalan Ketua I Pemuda MTD Kemasik, Mohd Tishaah Hamzah dalam ucapan aluannya mengucapkan ribuan terima kasih kepada para dermawan yang menghulurkan bantuan untuk diagihkan kepada anak yatim.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada wakil dan kakitangan firma perunding kejuruteraan yang amat prihatin dan penuh kecaknaan terhadap anak yatim.

Seterusnya beliau meminta anak anak yang ketiadaan ibubapa menghadiahkan ummu kitab, bacaan surah Yasin, tahlil dan doa- doa kepada arwah. Doa anak inilah antara tiga perkara yang bermakna kepada mereka yang berada di alam barzah selain ilmu yang diajarkan kepada orang lain serta derma yang ikhlas.

Anak yatim tersebut adalah sebilangan mereka yang terpilih sekitar Kampung Gelugor, Kampung Telaga Papan, Kampung Batu Putih, Kampung Kemasik Pantai dan Kampung Baru Kemasik.

Acara penyerahan duit raya telah disempurnakan oleh wakil firma perunding kejuruteraan dan Ketua Pemuda MTD Kemasik, Maznan Chik. Saudara Setiausaha Pemuda MTD, Saiful Azmi Suhaili bertindak sebagai moderator majlis.

Anak yatim juga dijemput berbuka puasa bersama masyarakat di Surau Taqwa, Kampung Gelugor sempena majlis khatam Al Quran.

0 Comments:

blogger templates 3 columns | Make Money Online