Friday, August 14, 2009

'Marilah Bersama Perjuangan Islam'



Malam tadi saya bertarawikh di Pasti As-Salam, Kg. Air Panas dalam MTD Bemban. Ia terletak 10 km daripada rumah saya di Kg. Kelubi dalam MTD Rim, Jasin. Pasti tersebut adalah tempat anak saya, Muhammad Naim Hakim belajar. Ustazah berpesan kepadanya supaya mengajak bapa dan keluarga berbuka dan bertarawikh bersama-sama. Saya memenuhi harapannya walaupun Markas Pas Jasin/Hamas cuma 2 km sahaja dari rumah.

Saya dijemput memberi tazkirah bersama Ustaz Jumary Al-Hafiz serta menyampaikan sumbangan duit raya kepada guru, pembantu dan para pelajar Pasti. Anak-anak Pasti ini bukan sahaja gembira menerima duit raya, tetapi bertemu rakan sebaya adalah keriangan yang tidak terhingga.

Saya tidak berkesempatan mendengar keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) sehinggalah pulang dari tarawikh dan menonton berita ringkas 12.30, TV1.

Majlis Tertinggi Umno menangguhkan pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) daripada Disember 2008 kepada Mac 2009. Parti ini semakin bercelaru. Ini penangguhan kali ke berapa? Berbeza dengan Pas yang saya sertai sebagai ahli seumur hidup sejak 1990, belum pernah menangguhkan pemilihan di peringkat cawangan, kawasan mahu pun pusat. Kita meneruskan pemilihan biar pun ada masalah yang menghimpit. Begitulah hormatnya pimpinan Pas kepada ahli yang membentuk semua peringkat kepimpinan.

Persoalannya, adakah Umno milik ahli MKT atau ahli di peringkat akar umbi? Parti terbesar dengan keahlian lebih 4 juta orang itu, tidak mampu menangani masalah persaingan dalaman parti di semua peringkat. Pemilihan Umno di beberapa cawangan terpaksa dikawal polis. Parti yang berusia lebih 62 tahun ini sebenarnya sedang nazak kesan kehilangan kewibawaan pemimpin bahana politik wang yang melanda mereka.

Apa agenda besar lain yang ingin diperjuangkan oleh Umno dan apa harapan besar yang ingin rakyat letakkan kepada mereka lagi? Mereka tidak mampu menjaga kepentingan bangsa Melayu dalam persoalan agama, bahasa, hak istimewa, ekonomi, wilayah dan sebagainya, walau pun ia dijamin dalam perlembagaan negara dan sudah sepatutnya menjadi tanggungjawab mereka yang mengaku Islam?

Tidak tersentuhkah perasaan apabila membaca laporan akhbar, baik Utusan Malaysia mahupun Berita Harian, tentang pelbagai amalan negatif dalam pertandingan merebut jawatan yang nyata jauh menyimpang daripada prinsip bahawa 'jawatan adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Taala?'

Semaklah laporan audit negara. Semua kerajaan negeri yang diterajui Umno menanggung beban hutang bukan setakat beratus juta, bahkan berbilion ringgit. Kerajaan persekutuan yang diterajui Umno turut menanggung hutang dalam dan luar negara berbilion ringgit.
Harapan orang Melayu dan Islam sebenarnya kepada Pas. Demikian juga harapan parti-parti lain yang menyedari betapa Umno semakin hilang arah perjuangan. Sdr. Kerk Kim Hock, bekas Setiausaha Agung DAP menurut kajiannya berkata, Pas adalah harapan dan mempunyai masa depan yang lebih baik dalam politik negara. Masyarakat Cina telah menyaksikan kepimpinan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat dan sudah lama diyakini mereka manakala kerajaan Pakatan Rakyat Perak sedang membuktikannya. Tunggu apa lagi saudaraku sekalian? Nilailah kebenaran menerusi neraca iman.

Kepada pemimpin dan ahli Umno yang menyedari realiti, sahutlah seruan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, 'marilah bersama perjuangan Islam', dan sebagaimana seruan Nabi Muhammad s.a.w, 'masuklah Islam, kamu pasti selamat'!

posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Sabtu, September 27, 2008

0 Comments:

blogger templates 3 columns | Make Money Online