Saturday, February 20, 2010

Perjuangan PAS penuh dengan onak dan duri ; Ustaz Alias Abdul Hamid

Ustaz Alias, Timbalan YDP PAS Kemaman sedang menyampaikan ucapan perasmiannya, paling kiri, Saiful Azmi Suhaili, wakil MTD Kemasik.
Haji Abu Bakar Ngah, Pemangku Ketua Cawangan sedang memberi ucapan aluannya.
Haji Abdul Marhalim, Timbalan Pengerusi Tetap berjaya mengendalikan Mesyuarat Agung dengan sempurna.
Dari kiri; Hj. Samsuddin Karim, Hj. Mohd Ibrahim & Zamli @ Razak Hj Yusoff antara ajk cawangan yang hadir.
Puan Sri Hariani Zakaria, Ketua Muslimat Cawangan nampak penuh konsentrasi mendengar ucapan perasmian.
Sebahagian muslimat cawangan yang hadir bersama anak kecil sedang tekun mendengar ucapan perasmian.

KERTEH, 19hb. Februari : Parti Islam Semalaysia (PAS) Cawangan Kg. Telaga Papan, Kerteh telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-09/2010 bertempat di PASTI Al Abrar, Kerteh pada Jumaat lepas.

Perasmian telah disempurnakan oleh Ustaz Alias Abdul Hamid, Timbalan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Kemaman sementara Saiful Azmi Suhaili sebagai wakil dari Majlis Tindakan DUN (MTD) Kemasik.

'Sejarah penubuhan PAS di cawangan - cawangan dalam DUN Kemasik ini sendiri berlaku dengan pelbagai rintangan dan cabaran', jelas Al fadhil Ustaz Alias kepada para ahli dan pemerhati yang datang.

'Bagaimana petugas PAS dikepung dan dihalau di Rumah Murah Kerteh semasa kempen PRU tahun 1986 oleh pihak lawan, akhirnya sekarang PAS berjaya membuka cawangannya di Rumah Murah Kerteh, inilah dia onak dan duri serta ranjau perjuangan demi menegakkan Islam', ujarnya lagi.

Beliau yang juga selaku Pengarah MTD Kemasik berkongsi pengalaman pengorbanan dan keperitan para pimpinan peringkat negeri bekerja siang dan malam tanpa mengira waktu demi memastikan PAS terus berdaya saing.

'Saya dapat maklumat Dato' Ustaz Abu Bakar Chik, Haji Yahaya Ali, Ustaz Ariffin Deraman serta Hajjah Safinah Jusoh sampai di Kerteh pukul 7.30 pagi sempena lawatan Dewan Harian PAS Negeri ke DUN Kemasik, saudara/i boleh bayangkan pukul berapa mereka ini bertolak dari Kuala Terengganu untuk sampai seawal pagi itu', jelasnya sambil mengatakan itulah pengorbanan para pimpinan yang perlu dijadikan iktibar kepada ahli PAS peringkat cawangan.

'Kita jangan lupa berapa ramai pimpinan PAS yang diserang sakit dan ada yang meninggal dunia semasa berada dalam program dan aktiviti PAS', sambungnya lagi.

Justeru itu, Al fadhil Timbalan YDP PAS Kawasan Kemaman mengingatkan ahli PAS di peringkat Cawangan terus bekerja mulai sekarang bagi memastikan kemenangan dalam PRU ke-13 akan datang.

Beliau mengucapkan tahniah kepada PAS Cawangan Telaga Papan yang menjadi antara cawangan terawal dalam DUN Kemasik berjaya melunaskan agenda penting parti iaitu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ini.

Seterusnya beliau berkata, 'asas perjuangan PAS ialah akidah bukannya habuan kebendaan dan keduniaan seperti Umno, justeru itu tiada janji jawatan dan kontrak dapat diberikan kepada ahli dan petugas PAS walaupun jika PAS berjaya memegang tampuk kekuasaan', terangnya.

'Saya difahamkan ramai ahli di Cawangan ini yang telah tidak bersama PAS kerana kemasukan mereka menyertai PAS semasa kita berkuasa 1999 - 2004 lepas, jadi pemutihan ahli perlu dilakukan di peringkat cawangan', jelasnya lagi.

'Jadikanlah mesyuarat ini sebagai medan muhasabah diri untuk menilai kekurangan dan kelemahan diri serta bertekad memperbaikinya demi kekuatan jemaah', sambungnya lagi.

'PAS Untuk Semua - PAS For All'.

0 Comments:

blogger templates 3 columns | Make Money Online