CHUKAI - Golongan pemuda Islam harus dibentuk dalam acuannya yang tersendiri demi memperkasakan gerakan pemuda, selain mengerakkan kesedaran dan tanggungjawab mereka mengenai kepentingan kerja kemasyarakatan serta pergaulan dengan pelbagai lapisan masyarakat.
Menyedari hakikat itu, program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT 10K) yang dijadualkan bermula esok (29 Oktober) hingga 31 Oktober diadakan bertempat di Dataran Tok Guru, Geliga, Chukai, dari awal pagi hingga lewat tengah malam.
HIMPIT musim ke-10 itu adalah acara tahunan Pemuda Islam Pas dan kali ini, Daerah Kemaman dipilih sebagai tuan rumah buat kali kedua selepas menganjurkan program sama buat kali pertama lapan tahun lalu.
Pengarah program, Dr Megat Shuhaimi Megat Idrus, 38, berkata, Himpunan Pemuda Islam Terengganu adalah garapan dan cita-cita murni sebagai medan mengumpulkan jentera Pemuda Pas ke arah memperkasakan golongan itu.
“Keperkasaan ini perlu diolah dan dimanfaatkan sebaiknya untuk mewujudkan gelombang baru Pemuda Islam.
“Menjadi harapan saya untuk menggandakan semangat mereka pada semua peringkat bagi memberi kesedaran dalam pelbagai bentuk dalam dunia global hari ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Megat Suhaimi berkata demikian sebelum mempengerusikan mesyuarat membabitkan ahli jawatankuasa (AJK) HIMPIT yang diadakan di bilik mesyuarat, Pejabat PAS Kawasan Kemanan, Bandar Chukai, malam semalam.
Menurutnya, dengan membawa tema ‘Orang Muda, Geng Kita’, pelbagai aktiviti berbentuk kemasyarakatan diadakan seperti perkhemahan, ceramah perdana, kuliah dhuha, sukaneka, qiamullail dan konsert dakwah yang akan dihadiri kumpulan nasyid, In-Team, Ringgo (bekas rockers) serta Qasidah Darul Ulum.
“Saya menyasarkan kehadiran sehingga 10,000 orang selama tiga hari program berlangsung. Pembbaitan peserta dan orang ramai akan melibatkan semua daerah di negeri ini,” katanya.
Megat Shuhaimi berkata, bagi memberi warna warni kepada program itu, pertandingan exploraces, karaoke bernasyid, pidato dan lawatan amal dari rumah ke rumah turut dijalankan bagi menarik minat orang ramai menjayakan program berkenaan.
“Program ziarah membabitkan 10 buah rumah warga emas dan orang sakit akan dijalankan di Kuala Kemaman, pemeriksaan kesihatan juga dijalankan kerana kami turut membawa seorang doktor bagi memeriksa mereka yang sakit,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus dan Hj Mohamad Sabu pasti menarik minat orang ramai hadir menjayakan program itu.
HIMPIT dianjurkan Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT) dengan kerjasama DPP Kawasan Kemaman dan DPP PAS Kawasan di seluruh daerah di negeri Terengganu.
(dipetik dari Sinar Harian.com)
Tuesday, October 27, 2009
HIMPIT 10K Usaha Perkasa Pemuda Islam - Sinar Harian.Com
Posted by Pemuda PAS MTD Kemasik at 8:29 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Comments:
Post a Comment